Editor: Amni Malik
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 MAC 2025 – Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, malah berfungsi sebagai alat terapeutik yang berkesan dalam meningkatkan kesihatan mental. Pengeluaran hormon endorfin dan dopamin ketika bersukan dapat mengurangkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan kepada individu terutamanya kepada remaja. Perembesan hormon ini membantu meningkatkan emosi positif yang akan menjadikan individu lebih tenang dan gembira. Menyedari kepentingan ini, program intervensi berasaskan sukan merupakan alternatif bagi membantu individu membina jati diri serta mengurus emosi dan kesihatan mental dengan lebih stabil.
Program ACE Terminal: Beyond The Game, hasil kerjasama antara BTOP Wellness Sdn. Bhd. dan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah berjaya dilaksanakan selama tiga bulan dan melibatkan enam sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu. Program ini bertujuan untuk melatih 12 jurulatih komuniti menggunakan sukan sebagai medium pemulihan kesihatan mental dalam kalangan remaja. Dengan peningkatan kes masalah kesihatan mental remaja, inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memberikan sokongan psikososial kepada golongan muda.
Menurut Tuan Haji Rudie Bin Yaakub, Pengarah Urusan BTOP Wellness Sdn. Bhd., salah satu cabaran terbesar dalam menangani isu kesihatan mental remaja ialah kekurangan tenaga sokongan yang terlatih dalam membantu remaja menghadapi cabaran emosi.
“Program ini melahirkan jurulatih komuniti yang bukan sahaja mahir dalam bidang sukan tetapi juga mampu menjadi pendengar dan pembimbing kepada remaja yang menghadapi cabaran emosi. Jurulatih ini memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran selamat dan menyokong bagi mereka yang memerlukan,”
Salah satu pendekatan utama dalam program ini ialah sesi ‘Play and Talk’, yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan sokongan emosi. Jurulatih komuniti dilatih untuk menerapkan kemahiran mendengar secara aktif, teknik komunikasi berkesan, dan pendekatan psikologi dalam membantu remaja mengurus tekanan. Pendekatan ini mewujudkan persekitaran yang selamat bagi peserta untuk meluahkan perasaan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan mental dan keyakinan diri mereka. Menurut maklum balas daripada peserta, mereka merasakan persekitaran lebih selamat untuk berkongsi masalah tanpa rasa takut akan stigma.
Bagi Encik Habib, salah seorang jurulatih yang terlibat, mengatakan pengalaman ini sangat bermakna dan memberi impak yang besar kepada dirinya:
“Saya mendapat perspektif baru tentang bagaimana sukan boleh menjadi terapi. Melalui program ini, saya belajar teknik memahami emosi remaja dan bagaimana memberikan sokongan secara lebih berkesan. Ini membuka mata saya tentang kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental,” katanya.
Program ACE Terminal: Beyond The Game bukan sekadar program sukan yang memberi manfaat kepada remaja, tetapi merupakan satu pemangkin perubahan dalam melahirkan lebih ramai tenaga sokongan terlatih yang berupaya membawa perubahan positif dalam memperkasakan kesedaran tentang kesihatan mental di negara kita.
Dengan kejayaan program ini, pihak penganjur berharap lebih ramai jurulatih, pendidik dan institusi dapat mengambil bahagian dalam usaha ini. Kesihatan mental remaja bukan lagi isu yang boleh dipandang ringan, dan inisiatif seperti ACE Terminal adalah satu langkah ke hadapan dalam menyediakan sistem sokongan yang lebih mampan.


“Kami percaya bahawa dengan lebih ramai individu yang terlatih dalam aspek kesihatan mental, kita boleh mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong untuk remaja. Masa depan mereka bergantung kepada tindakan yang kita ambil hari ini,” tambah Tuan Haji Rudie.
Bagi mereka yang berminat untuk terlibat dalam program ini atau ingin mengetahui lebih lanjut, maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi BTOP Wellness Sdn. Bhd. atau media sosial organisasi tersebut.